Sunday, June 15, 2008

Tahniah Idris Jusoh


DPIM Kedah merakamkan penghargaan kepada YB Dato' Seri Idris Jusoh kerana telah dilantik sebagai Pengerusi Mara yang baharu.


Diharapkan perlantikan beliau ini akan memperkasakan pembangunan usahawan Bumiputera agar mampu duduk sama rendah dan berdiri lebih tinggi dengan usahawan kaum lain.


Ada baiknya jika Idris mengstrukturkan semula peranan dan mentaliti Mara agar ianya lebih mesra usahawan. Kerenah birokrasi yang luwes sewajarnya dikikis.


Terdapat seorang usahawan di Kedah, yang merungut tentang payahnya berhadapan dengan birokrasi Mara. Bila berceramah mereka dengar mudah sangat dapat pinjaman. Seolah-olah Mara ini syurga usahawan Melayu. Tetapi bila buat permohonan mengalahkan bank komersial mereka minta itu dan ini. Macam itu juga dengan geran, sembang macam mudah tetapi bila minta tidak pernah dapat. Alasannya, rekod pembayaran pinjaman tidak cantik. Menurut usahawan yang baru disenarai hitam sejak awal 2008 itu lagi, kalau dia tiada masalah akibat disenaraihitam, dia pun tak akan cari Mara. lebih baik dia pergi dekat bank komersial.


Ada seorang lagi usahawan, yang bersemangat tatkala baharu lepas kursus Mara yang kepingin memohon geran promosi produk Mara. Disebabkan yakin dengan ceramah Pegawai Mara yang menceritakan betapa mudahnya Mara ingin membantu para uasahwan, maka beliau sanggup berhutang untuk membangunkan produk makanan dengan mencetak foil pembungkusan. Sayang seribu kali sayang, sehingga kini telah lewat lapan bulan permohonan beliau tanpa jawapan. Hasilnya usahawan tersebut dibebani hutang dan penyudahnya beliau terpaksa berhutang dengan 'along' bagi menyelesaikan masalahnya.


Rungutan ini adalah sebahagian kecil rintihan para usahawan kecil Melayu yang bagaikan tiada pergantungan harapan kepada iltizam yang diilhamkan oleh Almarhum Tun Ghafar Baba tatkala menubuhkan Rida dan seterusnya menjadi Mara.


Yang pasti Mara dan warga kepimpinan tertinggi yang menjadi pilihan rakyat perlu memikirkan sesuatu untuk lebih mesra usahawan kerana kini mereka lebih mesra berurusan dengan 'along-along' yang lebih memahami keperluan usahawan Melayu dan 'mesra usahawan'.


DPIM Kedah mendoakan agar kepimpinan negara dan pengurusan Mara agar melihat dengan mata hati para usahawan yang berpotensi agar tidak terus diabaikan.

No comments: