Saturday, July 5, 2008

Dr Mashitah :Usahawan Islam Harus Libatkan Diri Dalam Industri Halal

Usahawan Islam tidak sepatutnya tertumpu dalam bidang pengeluaran barangan makanan halal sahaja tetapi perlu turut menerokai pelbagai bidang lain, termasuk pelancongan dan perbankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata memandangkan konsep halal itu amat luas dalam kehidupan manusia, para usahawan Islam perlu melihat peluang perniagaan dalam konsep yang lebih luas.

Beliau juga menyarankan agar mereka lebih aktif melibatkan diri dalam industri halal memandangkan bidang itu kini lebih dikuasai dan dimonopoli oleh bukan Islam, katanya pada perasmian Mesyuarat Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Ke-15 di sini Sabtu.

"Industri halal kini secara berterusan dikuasai dan dimonopoli oleh bukan Islam, apa yang kita mahu adalah melihat lebih banyak penyertaan usahawan Islam di dalam industri halal dan tidak hanya terbatas dari aspek komersil bahkan juga tuntutan fardu kifayah," katanya.

Mashitah berkata usahawan Islam juga harus berubah dengan mengurangkan kebergantungan terhadap produk import dan mengusahakan sendiri sesuatu produk itu.

Sementara itu Presiden DPIM Tengku Tan Sri Dr Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata dewan perniagaan itu akan bekerjasama dengan Halal Development Corporation (HDC) untuk membangunkan lebih banyak produk halal.

"DPIM juga menggalakkan cawangan-cawangannya di semua negeri untuk mengadakan kursus bagi memberikan pendedahan serta bimbingan kepada peserta dan usahawan tentang produk halal," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Petikan : Bernama

No comments: